Jangan ‘Judge’ Takdir Yang Diterima Orang Lain, Semuanya Dalam Rahsia Allah

Jangan ‘Judge’ Takdir Yang Diterima Orang Lain, Semuanya Dalam Rahsia Allah

Masih ramai yang terlepas cakap dalam soal takdir dan berbicara tentang perjalanan hidup konon yang lambat kahwin itu rugi, yang tak dapat anak itu tiada peluang jadi ibu dan mungkin ada yang bagi pandangan lambat kahwin itu golongan yang tak suka rebut pahala lebih.

Eh, betul ke perjalanan hidup kita itu sendiri sudah sempurna? Mari jentik emosi dan renungkan perkongsian daripada Puan Ainizal Abdul Latif ini…

Polisi yang boleh berubah.

Saya terbaca pendapat seseorang di facebook mengatakan, “Ruginya orang yang sudah tidak boleh mengandung, bajet 2018 banyak bagi keistimewaan kepada ibu-ibu mengandung dan anak-anak yang lahir pada 2018 dan keatas..”

Sebenarnya tidak ada apa yang rugi pada takdir yang tidak boleh berubah, yang telah Allah tetapkan. Kerugian sebenar yang Allah nyatakan ialah jika kita tak faham dan tak mahu berfikir dengan Al Quran.

Seseorang yang mampu faham dan berfikir dengan Al Quran, tidak akan mengeluarkan apa-apa pendapat untung atau rugi dalam setiap takdir yang di terima dalam kehidupan dunia. Terutama takdir yang sudah tidak boleh diubah lagi.

Sebaliknya, mereka hanya berfikir bagaimana mahu untung dan tidak mahu rugi dalam kehidupan akhirat. Kerana untung rugi akhirat masih boleh kita ubah dan baiki jika Allah masih beri peluang kita hidup di dunia.

Lagi pula sebagai manusia, Allah katakan di dalam Al Quran bahawa kita tak tau apa-apa di dalam menentukan masa depan kita. Mutlak hanya Allah yang mengetahuinya.

Jadi, barangkali apa yang kita tidak dapat hari ini adalah baik bagi kita di kemudian hari, sedangkan apa yang kita dapat hari ini barangkali tidak baik untuk kita di kemudian hari. Semuanya dalam rahsia Allah.

Al-Baqarah : 216 :

“….Dan boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu, dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu. Dan (ingatlah), Allah jualah Yang mengetahui (semuanya itu), sedang kamu tidak mengetahuinya.”

Jika kita faham Al Quran dan selalu mencari motivasi daripadanya untuk reflek semula dengan takdir kita, sungguh, beriman dengan ayat ini sahaja akan buat kita tenang dengan takdir yang Allah telah catatkan untuk kita pada masa lalu dan masa hadapan.

Beriman dengan ayat ini juga menjadikan kita seorang yang tidak akan ‘judge’ takdir yang di terima oleh orang lain. Bagaimana Allah mahu mendidik kita, tidak sama bagaimana Allah mahu mendidik orang lain. Walaupun jalan cerita takdir itu hampir serupa.

Saya ambil contoh, 9 tahun lalu saya agak kecewa ketika doktor memberitahu bahawa kesan daripada 3 kali melahirkan anak secara pembedahan, saya sudah tidak boleh mengandung lagi.

Hari ini apabila saya reflek semula ayat daripada surah Al Baqarah tadi kepada diri dan kekecewaan yang di rasai saat 9 tahun lalu, sangat lah besar nilainya jika saya fikirkan.

Kerana terpaksa menerima keadaan yang tidak boleh mengandung lagi :

1) Selepas sah mengetahui tamat tempoh reproduksi, sehingga kini saya tidak perlu memikirkan apakah metod perancang keluarga yang perlu saya amalkan. Saya sendiri pula sangat sensitif dengan semua metod kerana tidak serasi dan banyak ‘side effect’.

2) Tempoh produksi saya hanya lah 4 tahun. Tahun 2005 anak pertama sehinggalah anak ke 3, 2009. Selepas itu saya tidak perlu memikirkan hal-hal berkaitan meyambut orang baru lagi sebaliknya fokus bagaimana nak membangunkan sebaiknya modal insan dunia akhirat dan kualiti intelektual untuk 3 orang anak ini.

3) Mereka membesar secara sekata. Selang hanya setahun dua. Proses pembelajaran berlaku kepada anak-anak menjadi mudah. Sebagai contoh, jika saya mengajar satu topik sains, saya boleh melibatkan semua anak-anak kerana tahap pemikiran dan penerimaan mereka sudah di lavel yang hampir sama.

5) Pada umur 35, anak-anak sudah melepasi fasa 6 tahun pertama. Saya punya banyak waktu lapang, untuk melakukan tugasan bermanfaat yang saya suka. Saya dapat ke kelas belajar Al Quran dan Bahasa Arab, dirumah ada masa saya belajar sendiri dan boleh menulis buku.

6) Saya ada banyak masa dan peluang untuk mencurah kasih kepada anak-anak lain di center saya. Mengajar dan menyantuni mereka seperti anak sendiri dan menjadikan mereka juga saham akhirat yang saya sedang berusaha kumpulkan.

Tidakkah sesuatu takdir yang saya kecewakan itu dahulu, adalah sesuatu yang baik dan memudahkan saya pada hari ini? Allah maha tahu. Jadi bersangka baik dah berlapang dadalah dengan takdir yang Allah tetapkan.

Mungkin takdir kita berbeza, tetapi berfikir, berkata-kata dan bertindaklah dengan apa yang dinyatakan dalam Al Quran. Hikmahnya pasti ada jika kita melihat dengan mata hati.

Kerana itu Allah katakan golongan yang mampu mengambil pengajaran daripada Al Quran hanyalah golongan yang di gelar golongan ulul albab iaitu orang yang mahu berfikir dengan ayat-ayat Allah.

Dalam pada keterujaan kita menerima berita daripada bajet terkini, tetapkanlah juga kebergantungan kita pada Allah dengan kebergantungan yang paling tinggi berbanding kebergantungan kita pada kerajaan/ manusia.

Ingatlah, bajet itu hanyalah sekadar janji dan polisi manusia. Polisi dan janji yang boleh berubah mengikut masa. Sungguh tiada jaminan. Hanya janji Allah, jaminannya sampai akhirat tidak akan berubah.

Mohonlah dalam setiap buruk dan baik nya takdir yang kita terima di dunia, setiap incinya adalah perencanaan Allah untuk kita mendapatkan yang terbaik untuk akhirat kita.

Dah Baca, Jangan Lupa Komen Dan Share Ya. Terima Kasih!

Sumber: Mingguan Wanita

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*